Thursday, December 8, 2011

Paling PENTING dlm hidup!!!

Pada zaman ini terdapat ramai umat Islam yang tidak mengambil endah dan tidak memberi perhatian terhadap ibadah solat, sedangkan solat merupakan suatu ibadat yang terpenting dan disepakati oleh seluruh ulama bahawa selepas iman, solat merupakan amalan yang lebih afdal daripada seluruh ibadat-ibadat fardhu yang lain. Solat juga merupakan amalan yang pertama sekali akan disoal pada hari kiamat.

Justeru, ajaran agama yang paling penting untuk dipelajari dan diajarkan kepada orang lain ialah solat. Hal itu antara lain pernah ditegaskan oleh junjungan kita, Nabi Muhammad saw dalam sebuah hadis sahih, “Aku didatangi Jibril a.s pada awal-awal turunnya wahyu kepada ku. Ia mengajarku wuduk dan solat.” (hadis Hasan riwayat al-Hakim, al-Baihaqi dan Ahmad).

Ajaran Islam meletakkan solat itu sebagai tiang agama. Ini bermakna jika tiang tidak didirikan, maka seolah-olah telah meruntuhkan agama. Oleh itu, sekiranya banyak amalan lain yang dilakukan tetapi tetap tidak mengerjakan solat maka ia umpama mendirikan rumah dengan bumbung, dinding dan sebagainya tetapi tidak didirikan tiang pada rumah tersebut. Natijahnya, rumah itu akan roboh. Sehubungan dengan itu sesiapa yang mendirikan solat, maka ia mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat, maka ia meruntuhkan agama!.

            Solat merupakan perkara asas dalam Islam, ia ibarat tiang bagi agama, dan ia juga merupakan anak kunci untuk memperoleh syurga AllahIa merupakan rukun kedua daripada rukun-rukun Islam yang lima. Ini jelas sebagaimana diriwayatkan oleh Rasullah s.a.w dalam satu hadisnya yang bermaksud: "Agama Islam itu terbina di atas lima asas, iaitu mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat, berpuasa dibulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan ibadah haji bagi orang-orang yang mempunyai kemampuan". (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Justeru, perkara pertama yang akan dihitung di akhirat ialah solat. Solat mempunyai kedudukan yang amat tinggi di dalam Islam. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya ‘al-Ibadah fi al-Islam’, antara tanda yang menunjukkan kedudukan solat itu tinggi ialah ia telah difardhukan di langit berbeza dengan ibadah-ibadah lain yang difardhukan di bumi.  Rasulullah saw telah dijemput oleh Allah untuk menerima kefardhuan solat dalam peristiwa Isra’ Mi’raj. Sehubungan dengan itu, para ulama’ menyatakan bahawa meninggalkan solat boleh membawa kepada kufur sekiranya engkar terhadap kefardhuan solat. Akan tetapi sekiranya meninggalkan solat kerana malas, maka seseorang itu menjadi fasik.

Solat umpama sebuah rumah yang pasti roboh tanpa tiang. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya (sempadan) antara seseorang dengan syirik dan kekufuran ialah meninggalkan solat.” Solat bukan hanya lambang ‘ubudiyyah (perhambaan) seorang manusia terhadap Penciptanya, malah falsafahnya amat luas seluas kebaikan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t terhadap orang yang mengambil berat terhadap ibadat besar ini.

            Atas dasar itulah, maka setiap orang yang baru memeluk Islam atau bagi Muslim yang sudah akil baligh wajib menunaikan solat. Mereka hendaklah mengetahui ajaran solat sebagaimana yang dipraktikkan oleh Rasulullah saw yang juga diikuti oleh para sahabat baginda. Rasulullah saw berpesan, “Tunaikanlah solat sebagaimana kamu melihat aku solat.”(hadis riwayat al-Bukhari)

            Allah s.w.t mencipta dan memberi peluang kita hidup di dunia ini.  Allah s.w.t juga memilih kita menjadi manusia iaitu makhluknya yang paling sempurna. Bayangkan jika kita dilahirkan sebagai haiwan! Sebagai tanda tunduk dan bersyukur kepada Allah s.w.t, kita hendaklah menunaikan segala perintah-Nya. Antaranya ialah solat lima kali sehari semalam. Muslim yang mengerjakan ibadat solat adalah seorang hamba Allah s.w.t yang baik dan soleh. Sebaliknya mereka yang enggan solat bermakna mengingkari perintah Allah s.w.t yang menjadikan mereka. Sudah tentu sikap mereka itu biadab dan tidak wajar

No comments: